~..Qisas hukuman terbaik tegak keadilan..~

salam..

ingatkah lagi kita dgn kes allahyarham adik Nurin Jazlin, allahyarham along spoon, 4 sekeluarga, dan paling terbaru sebelum raya - allahyarham Datuk Sosilawati dan ustazah serta anak lelaki beliau.. semua itu adalah kes pembunuhan kejam yg dilakukan umat manusia di akhir zaman yg hilang pedoman hidup.. marilah sama2 kita sedekahkan al-fatihah kepada semua mangsa.. semoga mereka dan kita semua ditempatkan di kalangan org2 yg beriman..amiin..


Mangsa jenayah kes bunuh berhak dapat ganti rugi, tertuduh kena balasan setimpal

Paling terbaru, kes pembunuhan kejam terbaru jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, bersama tiga yang lain, serta seorang ustazah dan anaknya mengejutkan seluruh negara ketika masyarakat Islam meraikan Aidilfitri.

Tragedi ini amat memilukan kerana jika dilihat daripada modus operandi penjenayah, mereka langsung tidak memiliki sifat kemanusiaan. Tidak dapat dibayangkan perasaan ditanggung ahli keluarga mangsa. Takziah diucapkan. Profesion guaman, perbankan dan pemandu sudah tidak lagi dilihat sebagai profesion yang selamat di Malaysia. Mungkin agak keterlaluan mengatakan sedemikian namun risiko tetap ada bagi semua profesion kerana kadar jenayah yang tinggi tidak mengenal profesion apa sekalipun. Apabila nafsu tidak dapat dikawal oleh akal dan lari daripada garis panduan ditetapkan Allah, itulah yang akan terjadi.

Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan: Barang siapa melakukan kesalahan membunuh orang hendaklah diseksa dengan bunuh.

Di Malaysia, pelaksanaan hukuman bunuh dibuat dengan menggantung pesalah sehingga mati. Di beberapa negara lain, hukuman bunuh dibuat dengan cara seperti menggunakan kerusi elektrik, tembak dan juga pancung di leher.

Suspek kes ini jika didapati bersalah tidak akan terlepas daripada jerutan tali gantung. Jika dituduh di mahkamah dan mereka berjaya membuktikan ada keraguan munasabah, mereka akan terlepas daripada tali gantung. Bagaimanapun, baru-baru ini ada gerakan yang mahu hukuman mati dimansuhkan di Malaysia. Gerakan itu disokong oleh Majlis Peguam. Mereka mengatakan adalah salah bagi manusia mengambil nyawa orang lain dan khuatir akan berlaku kesilapan dalam keputusan mahkamah.

Bagi kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati ini, adakah kita akan berpuas hati jika penjenayah yang disabitkan secara sah di sisi undang-undang ini hanya dihukum penjara seumur hidup saja?

Apatah lagi definisi penjara seumur hidup di Malaysia mengikut seksyen 57 Kanun Keseksaan hendaklah dikira sebagai bersamaan dengan penjara selama 20 tahun. Sudah pasti ia tidak adil apatah lagi tempoh 20 tahun itu juga boleh dipendekkan dengan kelakuan baik atau pengampunan. Tempoh penjara itu langsung tidak prihatin berkenaan nasib, perasaan dan kehidupan keluarga mangsa. Bagaimana pula keluarga mangsa yang hilang tempat bergantung dan punca rezeki? Siapa pula yang akan menggalas tanggungjawab menyara keluarga mereka?


Islam memberi penyelesaian yang bijak dalam hal ini. Pembunuhan dikategorikan dalam kes qisas. Hukuman qisas adalah hukuman yang sama dan seimbang dengan kesalahan dilakukan. Ia bukan kesalahan terhadap negara tetapi kesalahan terhadap keluarga mangsa. Keluarga mangsa boleh memaafkan kesalahan itu.

Keistimewaan qisas ialah pihak yang kena tuduh boleh merayu kepada keluarga mangsa supaya dapat digantikan hukuman dengan ganti rugi atau diyah. Jika kedua-dua pihak bersetuju maka ganti rugi boleh menggantikan hukuman qisas.

Mungkin inilah yang disebut Allah dalam firman bermaksud: Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan kehidupan bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran supaya kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah ayat 179)

Sayyid Qutb menafsirkan ayat ini sebagai suatu hikmah bagi merangsangkan dalam hati mereka dan menggerakkan perasaan takwa yang menjadi injap keselamatan persoalan orang yang mati dibunuh.

Nyawa seseorang manusia tidak dapat dinilai, tidak ada seorangpun mempunyai kuasa memberikan nyawa kepada seseorang dan tiada seorangpun mempunyai hak mengambil nyawa seseorang melainkan seperti diperintahkan.

Pembunuhan dalam Islam adalah jenayah yang besar. Hal itu dapat dilihat dalam surah Al-Maidah: 32 bermaksud: Barang siapa membunuh manusia bukan kerana ia membunuh orang lain atau melakukan kerosakan di bumi, maka seolah-olah ia telah membunuh manusia seluruhnya dan barang siapa yang memelihara nyawa seorang manusia, maka seolah-olah ia memelihara nyawa manusia seluruhnya.

Begitu juga dalam surah al Anam ayat 151 bermaksud: Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah kecuali dengan suatu sebab yang benar.

Dengan adanya qisas, keluarga mangsa boleh mendapat ganti rugi untuk meneruskan kehidupan kerana yang sudah mati tidak akan hidup kembali tetapi kehidupan keluarga mangsa tetap diteruskan.

Hukuman qisas adalah satu-satunya bentuk hukuman yang boleh menyelamatkan manusia daripada bahaya pembunuhan yang kian menunjukkan peningkatan. Suatu pembunuhan tidak diikuti oleh pembunuhan lain atau ganti rugi akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam.

Mengikut Ibn Rusyd dalam kitabnya, Bidayah al Mujtahid, ulama sepakat mengatakan kadar diyah bagi pembunuhan disengajakan adalah 100 unta. Tetapi ulama berbeza pandangan mengenai jenis unta yang perlu dibayar itu.

Imam Shafie berpendapat 100 unta yang mahal harganya hendaklah terdiri daripada 30 ekor hiqqah (unta betina berumur tiga tahun), 30 ekor jadzaah (unta betina berumur empat tahun) dan 40 ekor khaalifah yang bunting (unta betina yang berumur lebih lima tahun).

Jika melihat jumlah diyah ini, kita dapati pembayaran diyah dapat menjamin kehidupan keluarga mangsa yang telah kehilangan orang tersayang. Mungkin inilah yang dinyatakan Allah bahawa dalam qisas itu ada suatu jaminan kehidupan.

Berbeza dengan hukuman undang-undang sivil yang hanya mementingkan hukuman saja dengan harapan hukuman itu dapat mengekang perlakuan jenayah, qisas memberi alternatif lebih baik dengan menjamin kehidupan keluarga mangsa yang ditinggalkan itu.

2 penerjah sejati:

cru314ngel said...

undang2 Allah itu lah yang terbaik..tapi manusia tak sedar..mereka slh tafsir dan menganggap hukuman itu kejam..wallahualam...a very2 good article dear..thanx for sharing

Aliffiena said...

ye..undang2 Allah itu yg tbaek..spt yg telah tcatat dlm al-quran dan hadis.. andai semuanya berlandaskan hukum Allah, insya-ALLAH akan tenanglah bumi Allah ini..
tanx 4 ur time reading this:)

Post a Comment

 
Copyright ©
~..dear diary..~